BAB 1
Angin sepoi-sepoi bahasa
membuatkan Nur Qisya kian leka dengan kerjanya. Terasa nyaman sungguh udara di
kampung ini. Satu-satunya kampung yang telah lama dihuni semenjak dia masih
kecil. Dari kejauhan, dia ternampak Nek Esah berjalan menuju ke arahnya. Nur
Qisya tersenyum kecil. Dari jauh dia sudah dapat mengagak dia bakal dileteri
oleh neneknya. Lihat sahaja dari jauh neneknya sudah terkumat kamit. Haih Nur
Qisya, bakal mendengar ceramahlah kau nanti.
“Nur Qisya.” Suara Nek Esah
memanggil dirinya. Nur Qisya sudah bersedia.
“Qisya,
dah berapa kali nek bagitahu jangan pedulikan budak-budak hujung kampung tu?”
Ujar Nek Esah yang berjalan menghampiri cucu kesayangannya.
Satu-satunya
cucu yang sudi tinggal bersamanya sedari kecil. Dan satu-satunya cucu yang
sangat degil tetapi amat mengahormati orang tua. Walaupun perangai Qisya yang
sangat suka membalas dendam dengan caranya tersendiri, namun apa yang sering
dilakukan olehnya tidak pernah melampui batas. Dan apa yang dilakukan olehnya
hanya akan ditanggung kepada sesiapa yang berani membuli gadis itu.
“Apa
pulak Qisya nek? Qisya hanya balas balik apa yang diorang buat kat Qisya. Tak
salahkan kalau Qisya pertahankan diri?” Nur Qisya menjawab selamba sambil
tangannya lincah menyisip daun kelapa untuk dijadikan penyapu. Sudah dijangka
lambat laun neneknya akan mengetahui juga apa yang telah terjadi kelmarin.
“Memanglah
tak salah, tapi kan ke elok kalau kamu tak payah menyibuk nak membalas dendam?
Diorang tu boleh lakukan apa sahaja sebab ramai. Hah, kamu boleh ke nak
pertahankan diri kalau sorang-sorang? Sebelum ni memanglah boleh sebab ada yang
tolong kamu.” Bebel Nek Esah lagi sambil mengumpul batang-batang lidi yang disisip
oleh cucunya. Begitulah mereka setiap petang. Jika ada masa kelapangan, dia lebih
suka menghabiskan masa dengan cucunya. Berbual sambil membuat kerja.
“Alah
nenek ni, mestilah Qisya tak boleh sorang-sorang, tapi dengan pertolongan abang
Qisya bolehlah.” Qisya tersegih sumbing. Masih mempertahankan dirinya.
“Ehsan
tu memang suka tolong kamu. Itu sebab kamu yang mendesak minta tolongkan?” Nek
Esah menggeleng-gelengkan kepalanya. Tahu benar sikap Qisya yang suka
menghabiskan masa dengan Ehsan. Anak jiran sebelah rumah.
“Eh,
mana ada. Abang Ehsan tu memang suka tolong Qisya. Dia dah anggap Qisya ni
macam adik dia sendiri. Dia cakap, mana boleh orang buli adik dia sesuka hati.”
Qisya mengulangi apa yang pernah Ehsan katakan padanya suatu ketika dahulu.
“Yalah
tu, adiklah sangat. Jangan suatu hari nanti dengan kamu-kamu sekali terangkat.
Ingat Qisya, kamu dengan dia bukan muhrim tau. Jaga tingkah laku kamu dengan
dia. Berkawan tu berkawan jugak. Tapi
kalau Atuk atau nenek dengar perkara yang tak elok berlaku antara kamu berdua,
hah siaplah.” Nek Esah memberi kata dua. Bimbang juga jika sesuatu yang tak
elok berlaku antara keduanya. Mana mahu diletakkan air muka mereka yang sangat
dihormati oleh orang kampung.
“Eh
nek ni? Bila masa pulak Qisya nak terangkat dengan dia. Mengarut betul. Abang
Ehsan dan Qisya ni hanya berkawan. Bukan beradik angkat apatah lagi beradik
kandung. Qisya tahulah jaga diri. Yang itu Nek tak perlu bimbang ok?” Nur Qisya
memberi jaminan.
“Haih,
payah betul bercakap dengan kamu ni Qisya oi. Sepatah nenek bercakap,
berpatah-patah kamu menjawab ya? Hish, kalau kamu dah tahu baguslah.” Tangan
tuanya mencapai batang lidi terakhir ditangan Nur Qisya, kemudian diambil
beberapa utas getah yang berteraburan untuk mengikat hujung batang lidi yang
keras. Nur Qisya pula menggapai penyapu, bersedia untuk membersihkan habuk dan mengumpul
dedaun kelapa yang berteraburan lantai.
“Assalamualaikum..”
Haji Long Ahmad meletakkan beberapa tandan pisang yang dibawa balik dari dusun
miliknya dihujung kampung. Diletakkan tandan pisang tersebut bersandar dengan
pankin yang diduduki oleh isteri dan cucunya tadi. Tangan tuanya
mengipas-ngipas wajah tuanya menggunakan kain. Terasa panas membahang dek
disinari cahaya matahari petang.
“Waalaikumussalam”
serentak itu salamnya dijawab oleh kedua-dua kesayangannya. Langsung tidak
menyedari kepulangan atuknya.
“Atuk
nak air? Qisya ambilkan ya?” Ujar Qisya. Anak matanya melihat Haji Long Ahmad
yang kepenatan sambil mengesat peluh keringat yang meleleh di dahi atuknya.
“Hah,
boleh jugak. Atuk dah haus sangat ni. Panas betul cuaca hari ni. Membahang
hangat dari hari biasa.” Rungut Haji Long Ahmad. Penatnya masih bersisa.
Kemudian dia menarik nafas cuba mencari udara yang nyaman. Dengan angin sepoi
sepoi bahasa, membuatkan badannya terasa sedikit segar.
“Apa
yang kamu bualkan tadi dengan Qisya. Bukan main lagi saya tengok. Kamu marahkan
dia lagi?” Soal Haji Long Ahmad. Dari jauh lagi dia melihat isterinya
berceloteh panjang. Langsung tak perasankan dirinya yang semakin menghampiri.
“Tak
ada apalah Atuknya. Saya nasihatkan cucu awak tu.” Ringkas jawapan yang
diberikan.
“Apa
pula kali ni yang budak tu buat?”
“Tak
ada apalah atuknya. Dah selesai pun saya nasihatkan dia. Atuknya tak payah la
bimbang.” Ujar Nek Esah tidak mahu dipanjangkan bebelan Haji Long Ahmad.
“Hah,
yalah tu nek Esah oi. Saya bukan apa, bimbang juga kalau cucu kita tu
diapa-apakan. Maklumlah, dia tu perempuan. Kalau lelaki, saya taklah kisah
sangat. Budak-budak zaman sekarang ni semua tak boleh pakai.” Haji Long Ahmad
mengeluh kesal mengenangkan sikap anak muda zaman sekarang.
“Atuk..nenek,
jemput minum. Qisya buatkan air ni. Cekodok pun ada. Jemput makan.” Qisya
menatang dulang yang dibawa menghampiri Haji Long Ahmad dan Nek Esah. Dari dapur
lagi dia sudah mendengar bebelan atuk dan neneknya. Alah, bukan tak biasa
mendengar bebelan keduanya, malah sudah kalis. Fikirnya, Atuk dan Nenek selalu
menasihatinya kerana sayangkan dirinya dan juga supaya dia menjadi anak yang
baik.
“Eh,
bila kamu buat ni? Tadi masa nenek ada kat dapur tak nampak pun?” Nek Esah
mencapai seketul cekodok lalu disuakan ke mulutnya.
“Qisya
buat petang tadi selepas solat Zohor. Alang-alang dah ada pisang, Qisya
buatkanlah. Lagipun Qisya tahu atuk dan nenek memang sukakan cekodok buatan
Qisya ni.” Kembang kempis hidungnya dek kerana terlau bangga.
“Kamu
ni macam-macam lah. Yalah kami memang sukakan cekodok kamu sampaikan mengigau
malam atuk kamu ni.” Ujar Nek Esah sambil mengunyah cekodok. Haji Long Ahmad
hanya tersenyum sumbing mendengarkan usikan isterinya.
“Semalam
papa kamu telefon atuk.” Matanya memandang reaksi Qisya. Tahu sangat akan reaksi
wajah yang akan bertukar serta merta apabila mendengarkan perihal papa dan
keluarganya di bandar.
“Ermm..
kenapa papa call?” Soal Nur Qisya
acuh tak acuh. Sudah dapat diagak apa yang bakal diperkatakan.
“Macam
biasa. Bertanyakan tentang kami dan juga kamu. Katanya mereka akan pulang ke
kampung pada minggu depan. Bercuti panjang katanya.” Haji Long Ahmad bercerita
lagi. Qisya dan Nek Esah hanya mendengar. Qisya hanya mengangguk sahaja bak
burung belatuk. Tiada apa yang dapat diperkatakan.
“Bercuti
panjang?” Nek Esah mengerutkan keningnya. Setahunya, jika anaknya mahu pulang
pasti hanya dua atau tiga malam sahaja.
“Haah,
nak bercuti panjang. Mungkin seminggu atau dua katanya.” Ujar Haji Long Ahmad
lagi.
“Ish
lama juga diorang tu bercuti. Tak pernah mereka nak balik selama tu. biasa dua
atau tiga malam aja bertahannya.”
“Eh
awak ni Nek Esah. Awak tak suka ke kalau anak menantu balik ke rumah?”
“Apa
pula tak suka Atuknya. Baguslah kalau diorang balik lama-lama kat sini. Terubat
sikit rindu saya ni ha. Rumah pun riuh sikit.” Ujar Nek Piah menyangkal
kata-kata Haji Long Ahmad.
Nur
Qisya terdiam. Hanya mendengar perbualan Atuk dan neneknya. Dia mula
terfikirkan sesuatu. Agaknya kenapa keluarganya mahu pulang selama itu ke
kampung?
Matanya
terkebil-kebil memandang syiling rumah. Kemudian meliarkan pandangan melihat sekeliling bilik yang dihuni. Bilik
yang penuh suka dan duka sepanjang dia berada di rumah ini. Rumah yang
diceriakan oleh celoteh tua atuk dan nenek.
Selepas
sembahyang berjemaah tadi, dia terus menyepikan diri di dalam bilik. Langsung
tiada mood mahu menemankan atuk dan
neneknya menonton. Kebiasaannya, dia lah yang menjadi pelayan kepada atuk dan
neneknya pada sebelah malam. Menyediakan pencuci mulut kepada mereka dan
berborak panjang. Tetapi sejak berita yang disampaikan oleh Atuk petang tadi
telah mematikan semua moodnya untuk
menyertai mereka di ruang tamu. Hatinya berlagu bimbang. Bimbang akan sesuatu
yang bakal terjadi pada minggu hadapan.
Entah
jam berapa Nur Qisya terlelap kerana terlalu asyik berfikir. Masih
terngiang-ngiang lagi perbualan Atuk dan neneknya petang tadi. Lenanya malam
itu bertemankan kebimbangan.