photo HEADERKARYA2U1_zpsac0a7022.png
 photo LOVEQOUTE01copy_zps5766c6b6.png

Followers

Monday 17 September 2018

CINTA NUR QISYA [BAB3]


Bab 3

            Hari semakin beransur gelap, nun di hujung suatu sudut masih terdapat sebuah bilik yang masih terang benderang. Pintu yang sedikit terbuka langsung tidak menyukarkan manusia diluar bilik itu untuk melihat gerangan jejaka yang masih leka menghadap kertas-kertas yang menimbun dihadapannya.
Seorang demi seorang beransur pulang, namun sedikitpun tidak mematahkan semangat Ammar Ryan yang begitu tenang menyiapkan kertas kerjanya. Sejak beberapa tahun yang lalu, begitulah rutinnya setiap hari. Hidupnya hanya kerja, kerja dan kerja.
            “Hai Ryan, tak balik lagi? Dah gelap ni, kat luar dah hujan rintik-rintik.” Wanita itu sempat menegur Ammar Ryan yang begitu khusyuk mengadap kerja. Langsung tidak menghiraukan keadaan sekeliling.
            Ammar Ryan memanggungkan kepalanya apabila mendengar suara yang cukup dikenali. “Belum lagi Kak Rose. Sekejap lagi saya balik, ada lagi sikit yang perlu saya siapkan.” Ammar Ryan tersenyum sahaja. Langsung tidak ada sekelumit rasa marah kerana menerjah biliknya tanpa mengetuk pintu. Sudah terbiasa keadaan itu dari dulu lagi. Wanita dihadapannya memang begitu, suka sangat menerjah masuk. Dialah wanita yang satu-satunya yang rapat dengannya di situ.
            “Untunglah siapa yang dapat kamu ni Ryan. Nasib baik akak ni dah kahwin, kalau tak Ryan lah yang akan akak goda.” Wanita itu sempat mengusik Ammar Ryan yang muda darinya.
            Ammar Ryan hanya ketawa lucu. “Macam-macam lah akak ni. Sepatutnya siapa yang kahwin dengan akaklah yang untung. Cantik, bijak, pandai masak dan bekerjaya.” Ammar Ryan membalas usikan wanita itu.
            “Kalau macam tu Ryan kahwin dengan akaklah. Nak?” Wanita yang dikenali Kak Rose berjenakan.
            “Boleh je kak, tapi takut nanti Encik Suami akak yang kejar saya sampai tak cukup tanah kang. Lepas tu tak pasal-pasal masuk berita pulak nanti. Naya-naya, tak sanggup saya nak menghadap semua tu.” Ammar Ryan ketawa geli hati.
            “Hah, yalah tu takut kena kejar. Encik abang Kak Rose tu tak sempat nak mengejar Ryan punyalah.” Kak Rose ketawa lagi. Kali ini ketawanya sedikit kuat. Sempat dia mengutuk si suami yang setia menemani hidupnya.
            Ammar Ryan yang sempat menangkap riak lucu di wajah Kak Rose juga tergelak-gelak. “Tak baiklah akak kutuk husband sendiri. Walaupun boyot tapi akak sayang separuh matikan?” Ammar Ryan menggelengkan kepala. Apalah nasib Abang Hamidun boleh Kak Rose yang agak gila-gila ni.
            “Hahahaha..memanglah darling oi.. Sayang separuh mati tu. Bercinta bertahun-tahun tau. Dah la, akak nak beransur pulang ni. Kamu tu jangan balik lewat sangat. Akak ada dengar cerita bangunan ni berpenunggu tau. Jaga-jaga.” Seperti biasa itu ajelah modal untuknya mengusik Ammar Ryan.
            “Yalah kak, saya memang tunggu pun. Nak-nak kalau penunggu tu gadis cantik macam akak.” Ryan tersengih. Langsung tidak takut dengan cerita yang disampaikan.
            “Ish kamu  ni. Jumpa betul baru tahu. Ada ke samakan Kak Rose dengan penunggu tu. Ish, tak kuasa la.” Sempat lagi dia membalas usikan Ammar Ryan walaupun dia sudah berjalan ke pintu lif. Ammar Ryan hanya tersenyum. Sebaik sahaja bayangan Kak Rose menghilang, dia kembali meneruskan kerjayanya yang tergendala.
            Bunyi deringan telefon bimbitnya untuk kali kedua diangkat juga. Itulah dia, selagi kerja belum disiapkan selagi itulah kerja menjadi keutamaannya.
“Hello Umi, sekejap Umi, Ryan dah siap ni. Iya, nak baliklah ni Umi. Okey. Assalamualaikum.” Ammar Ryan kembalik meletakkan telefon bimbitnya ke dalam poket kerja. Tangannya tangkas mengemas mejanya yang berselerek dengan perbagai fail dan kertas.
Setelah siap, Ammar Ryan memetik suiz lampu dan mengunci pintu bilik. Bersedia untuk pulang. Jika dia terlewat, pasti membebel Uminya.


“Assalamualaikum Umi, Walid.” Ammar Ryan menyapa umi dan walidnya yang sedang bersantai di ruang tamu. Hawa dingin di ruang tamu itu sedikit menyegarkan tubuhnya dengan wangian yang digunakan. Nyaman. Ammar Ryan mengambil tempat bersebelehan Uminya.
“Waalaikumusaalam.” Jawab keduanya. “Sampai pun anak bujang Umi ni.” Puan Kamariah tersenyum. Lega anak terunanya selamat sampai ke rumah.
“Sekejap, Umi ambilkan air untuk kamu.” Puan Kamariah bangun dan beredar ke dapur meninggalkan Ammar Ryan dan suaminya berbual di ruang tamu.
“Kamu dah solat Ryan?”  Soal Encik Zulaidi. Sememangnya tanggungjawab dirinya untuk memastikan kesemua anak-anaknya menunaikan solat. Biarpun umur Ryan kini sudah menjangkau 28tahun.
“Dah walid. Solat kat surau office tadi.” Ammar Ryan mengangguk.
“Ni Walid nak nasihatkan kamu sebelum kamu naik angin.” Encik Zulaidi bercakap perlahan, bimbang jika didengari oleh isterinya. Lebih baik dia memberi amaran terlebih dahulu sebelum anak dan isterinya berperang dingin. Kadang-kadang angin anak sulungnya bukan boleh dijangka.
“Apa dia walid?” Hairan apabila Walidnya beranjak sedikit menghampiri tempat duduknya. Malah bercakap perlahan pula.
“Umi kamu ni nak kenalkan kamu dengan kawan dia. Mungkin esok ataupun lusa. Tapi walid tak berkenan betul dengan perempuan tu. Ni, kamu jangan lah bergaduh pulak dengan Umi kamu ni. Buat biasa sudahlah kalau Umi kamu nak bercakap dengan kamu nanti.” Walid memberi nasihat.
Ammar Ryan ingin bertanyakan lagi tetapi Walidnya segera beralih ke tempat duduk asalnya apabila terdengar derapan langkah kaki isterinya.
“Apa yang kamu berdua berborak ni. Bukan main perlahan lagi Umi dengar?” Air disuakan kepada anak terunanya.
“Terima kasih umi. Tak ada apa yang nak diborakkan Umi. Hal pejabat aja.” Ujar Ammar Ryan dengan tenang sambil menhirup air.
“Hah ni terlanjur kamu ada ni, Umi nak cakap sikit dengan kamu.” Ammar Ryan menjongketkan kening. Sempat dia menoleh ke arah Walidnya yang tenang membaca buku di tangannya.
“Ada apa Umi?” Ammar Ryan menyoal. Kononnya langsung tidak tahu menahu.
“Umi nak ajak kamu temankan umi makan tengah hari esok.” Puan Kamariah tersenyum.
“Nak makan tengah  hari? Esok?” Ammar Ryan menyoal. Akalnya cuba mencari akal untuk melepaskan diri.
“Ermm.. nak makan kat mana Umi?” Ammar Ryan berpaling ke arah Walidnya. Dipandang wajah Walidnya yang hanya diam. Takkan Walid tak mahu menolongnya.
“Kat tempat biasa la Restoran D’Ayu.” Senyumannya semakin melebar.
“Boleh kot, tapi Walidlah yang jemput Umi nanti ya. sebab Ryan ada meeting sebelum lunch hour.” Ammar Ryan menekan nama walidnya. Meminta pertolongan.
Encik Zulaidi serta merta mengangkat kepala. Keningnya dijongketkan. “Eh, walid tak turut serta.” Serta merta Puan Kamariah memotong sebelum suaminya bersuara.
“Kita berdua aje ke Umi?”
“Taklah tetapi berempat.” Puan Kamariah tersenyum lagi menambahkan curiga di hati Ammar Ryan.
“Berempat?”
“Ya berempat.”
“Ermm..insyaallah Umi. Nanti sebelum lunch, Ryan call Umi confirmkan jadi atau tak.” Ammar Ryan mengambil briefcasenya. Tubuhnya terasa letih dan berpeluh walaupun ruang tamu itu berhawa dingin.
“Nak ajak anak sendiri makan kat luar pun kena ada temujanji ke Ryan?” mendatar suara Uminya. Mungkin berkecil hati dengannnya.
“Umi, Ryan tak boleh berjanji takut tak boleh ditepati. Ryan bukan apa, tak nak rushing berkejar ke sana ke mari. Ryan pun tak pasti meeting tu sampai jam berapa. Nanti if jadi, siapa nak jemput Umi?” Ammar Ryan menerangkan keadaannya. Bukannya dekat perjalanan dari pejabat ke Restoran D’Ayu. Mahu mengambil masa dalam 20minit. Dan bukannya 20minit tetap akan sampai di sana. Pasti keretanya akan tersangkut dengan kesesakan lalu lintas. Dia sudah banyak kali menghadapi seperti situati itu.
“Tak payah jemput Umi. Tunggu saja kat sana.” Ujar Uminya masih sama nada suaranya.
“Umi janganlah macam ni. Ryan akan cuba datang lunch esok ya?” Ammar Ryan memegang tangan tua Uminya. Cuba memujuk.
“Baiklah. Tapi Umi berharap sangat Ryan dapat hadirkan diri tengah hari esok.”
“Insyaallah Umi. Ryan naik dulu ya. Assalamualaikum.” Ammar Ryan terus berlalu meninggalkan ruang tamu. Perkara esok akan difikirkan kemudian. Tahulah nanti bagaimana dia akan cuba selesaikan dengan Uminya.


Ammar Ryan merebahkan dirinya di atas katil. Badannya dibiarkan tidak berbaju. Ingin merasai angin dingin di biliknya. Lama dia berkeadaan begitu sebelum dia bangun dan menuju ke meja kerjanya. Kunci di dalam almari tepi katilnya sempat dicapai. Rasanya sudah terlalu lama dibiarkan laci itu tidak tersentuh. Hampir enam bulan.
Malam ini untuk sekian kalinya dia ingin melihat foto yang sudah lama tersimpan di situ. Mengimbau kembali kenangan manis bersama orang yang sudah lama meninggalkan dirinya.  Satu-satunya gadis yang berjaya mencuri hatinya. Dan satu-satunya gadis yang berjaya meninggalkan luka dihatinya.
Lama foto itu menyapa ruang matanyaAmmar Ryan mengusap sekeping kertas yang tak bernyawa. ‘Lyana Amira’ sebaris nama yang cukup lama yang cuba dilupakan. Kenapa dia perlu diuji begini?




Saturday 1 September 2018

CINTA NUR QISYA [BAB2]



BAB 2

                “Assalamualaikum..hai termenung jauh nampak. Boleh tumpang duduk?” tegurnya kepada Nur Qisya apabila melihat gadis itu leka dengan dunianya. Dari jauh lagi dia sudah ternampak gadis itu yang sedang leka memandang ke arah bendang yang terbentang luas. Entah apa yang difikirkan oleh gadis itu sehingga kehadirannya langsung tidak disedari.
            “Eh abang.. duduklah. Tak ada apa yang dimenungkan. Cuma tengok budak-budak tu main layang-layang. Seronok betul kan?” Nur Qisya memandang dada langit melihat layang-layang berterbangan.
Alangkah indahnya jika dia yang menjadi layang-layang tersebut. Bebas berterbangan di udara tanpa ada sekelumit bimbang. Nur Qisya tersenyum sendirian. Bukankah layang-layang itu dikawal juga oleh pemiliknya? Ah, layang-layang dan dirinya langsung tiada beza. Dikawal ketat oleh pemiliknya.
            “Haah, seronok juga. Qisy nak layang-layang?” soal Ehsan. Matanya masih lagi terpaku pada seraut wajah dihadapannya. Tenang hatinya melihat senyuman yang terukir menghiasi wajah gadis tu.
            “Abang nak buatkan untuk Qisy ke?” soalnya dengan nada tidak percaya.
            “Yalah. Ingat abang tak pandai buat ke? Setakat layang-layang macam tu kacang aje.” Sambil tangannya menuding ke arah layang-layang yang paling tinggi. Gah di atas sana.
            “Apa lah abang ni. Qisy dah besar la, takkan nak lari-lari lagi main benda alah tu. setakat tengok okeyla.” Nur Qisya ketawa lucu. Tidak dapat dibayangkan kalau dia yang bermain layang-layang tersebut. Pasti terbeliak mata nenek dan atuknya melihat dia berlari anak sambil memakai kain.
            “Eh, apa salahnya. Kalau main benda tu tak ada had umurnya. Semua orang boleh main.” Ehsan menyuarakan pendapatnya.
            “Memanglah, tapi hish tak nak lah. Mahu atuk dan nenek terbeliak tengok Qisy berlari lari. Silap hari bulan dikejarnya nanti dengan batang penyapu. Tak cukup tanah Qisy nak lari” Nur Qisya ketawa galak diikuti dengan ketawa Ehsan.
            Setelah ketawa keduanya reda, Ehsan berdehem. Mulutnya sudah tidak sabar-sabar mahu bertanyakan soalan yang bermain dibenaknya.
            “Abang dengar minggu depan family Qisy nak datang sini? Betul ke?” soal Ehsan apabila teringatkan bicara ayahnya dengan Haji Long Ahmad kelmarin. Usai sahaja pulang dari kebun, Haji Long Ahmad singgah di rumah mereka. Berbual-bual dengan ayahnya dan kebetulan juga ketika itu dia juga ada bersama.
            “Haah, mungkin hari sabtu ni sampai la agaknya.” Jelas Nur Qisya acuh tidak acuh.
            Melihatkan senyuman diwajah yang kian pudar, kini tahulah Ehsan bahawa gadis itu tidak suka bercakap mengenai keluarganya. Entah kenapa gadis itu enggan berbicara mengenai keluarga kandungnya. Bahkan setiap kali diutarakn mengenai mereka, pasti Nur Qisya akan mengelak.
            “Oh ya, Qisy dah habis belajar kan? Lepas ni macam mana? Qisy nak kerja dekat mana?” Soal Ehsan ingin tahu. Kalau gadis itu masih belum merancang lagi, boleh lah dia rekomenkan kepada company tempat dia bekerja sekarang ni. Setahunya masih ada kekosongan yang diperlukan oleh syarikat itu. Mungkin Nur Qisya akan berminat. Lagi pula jawatan itu sangat sesuai dengan jurusan yang diambil oleh gadis itu.
`           “Entahlah la Abang. Ikutkan hati Qisy mahu bekerja di pekan aje. Dekat dengan atuk dan nenek. Tapi...” Nur Qisya mengeluh. Sudah tahu apa yang bakal terjadi. Papanya mesti mahukan dia pulang ke pangkuan keluarga. Mahu atau tidak, rela atau tidak, dia pasti itulah yang dimahukan oleh papanya.
            “Tapi kenapa?” Laju sahaja mulutnya bertanya.
            “Papa Qisy mesti suruh balik ke Kuala Lumpur. Nak tak nak mesti patuh arahan tu.” Kali ini dia sudah tidak mampu menolak lagi. Sudah banyak kali dia menolak. Jika dahulu dia menolak kerana masih lagi belajar. Tetapi sekarang? Alasan apa lagi yang mahu di berikan?
            “Oh, jadi keluarga Qisy datang sini mahu bawa Qish pulang. Macam tu?” Ehsan sedikit kecewa. Jika gadis itu sudah pulang ke sana nanti, semakin susah mahu berjumpa dengan gadis itu. Hatinya kecewa, ada sesuatu yang mahu disampaikan olehnya. Sesuatu yang sangat penting.
            “Mungkin.” Hanya sepatah jawapan yang diberikan.
            “Kalau dah pulang ke sana nanti, pasti Qisy jarang balik ke sini kan?” Teka Ehsan lagi.
Nur Qisya diam. Tidak tahu apa yang harus dijawab. Tidak mahu berjanji atau menaruh harapan. Apabila pulang ke sana nanti, dia yakin pasti susah untuk pulang ke kampung menjenguk atuk dan neneknya. Lihat sahaja keluarganya yang hanya jarang-jarang pulang ke sini. Boleh dikira dengan jari, dalam setahun hanya tiga atau empat kali sahaja.
“Insyaallah Qisy akan kerap pulang. Sekerap yang mungkin.” Nur Qisya tersenyum hambar. Dia sayangkan atuk dan neneknya. Terlalu sayang akan mereka berdua kerana sedari kecil mereka memelihara dan menjaganya menatangnya dengan penuh kasih sayang.
“Qisy boleh menolak kalau Qisy tak mahu pulangkan?” Soal Ehsan cuba mencari jalan untuk menghalang gadis itu dari pulang ke bandar.  
Nur Qisya menoleh ke arah Ehsan, langsung tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Ehsan. Dia tidak kenal papa kah? Mustahil lelaki disebelahnya langsung tak tahu bagaimana perwatakan papanya. “Er, maksud abang, kalau Qisy tak mahu balik ke sana, Qisy bagitahu papa Qisy alasan yang munasabah. Abang yakin pak cik takkan marah.”
“Abang tak kenal papa Qisy, dia nampak aje baik dan penyayang tetapi tegas dan keputusan yang dibuat adalah muktamad. Mungkin kali ni Qisy akan pulang ke sana. Lagipun kesian papa, dia dah lama harapkan Qisy. Qisy tak boleh hampakan harapan papa untuk kali ini.” Nur Qisya sudah  nekad. Kali ini dia akan pulang ke pangkuan keluarga. Hujung minggu dia akan pulang ke kampung menghabiskan masa dengan orang kesayangannya.
Mendengarkan jawapan Qisya membuatkan hatinya bertambah kecewa. Mana mungkin dia meluahkan apa yang terpendam di hatinya untuk ketika ini. Dia masih perlukan waktu untuk meluahkan apa yang dirasakan oleh hatinya. Setelah yakin, barulah dia akan bersuara.
“Kenapa diam aje ni?” Nur Qisya pelik melihat Ehsan yang hanya diam membisu. Mendung sahaja wajahnya bak putus cinta. Lelaki itu bercintakah?
“Abang janganlah bimbang, hujung minggu Qisy akan pulang ke kampung. Boleh lah kita lepak macam biasa.” Ehsan tersentak, gadis itu bagaikan dapat membaca apa yang tersirat dihatinya.   
“Hehehe..pandailah Qisy ni. Abang bukan apa, boring jugak kalau tak ada teman nak berbual. Tuk Haji dan Nek Piah mesti kesunyian nanti.” Ehsan berdehem seketika. Malu sungguh jika dia mengakui apa yang dikatakan oleh Qisya itu benar. Di mana dia mahu sorokkan mukanya. pasti dia akan menjadi bahan nanti.
“Yalah tu. Eh, dah lewat petang dah ni. Qisy nak balik la. Nanti nenek dan atuk marah pulak.” Serentak itu, dia meloncat dari pangkin yang terletak elok di bendang. Dia mengetap bibir apabila jam menunjukkan ke angka tujuh petang. Dia berlalu meninggalkan Ehsan yang terkebil-kebil melihatnya.
“Qisy, nanti dulu.” Ehsan cuba memanggil Nur Qisya yang sudah jauh meninggalkannya. Dia cuba mengejar Qisya.
“Lain kali bang, Qisy dah lewat ni. Assalamualaikum” Nur Qisya berlari bagaikan lipas kudung. Takut sangat jika dimarah oleh Haji Long dan Nek Piah. Tapi kalau dia di tempat Nur Qisya pasti kejadian yang sama akan menimpanya.
Ehsan memperlahankan langkahnya, dan kemudan dia berdiri tercegat sambil memerhatikan Nur Qisya yang sudah jauh meninggalkannya. Dia menggelengkan kepalanya, lucu melihat Nur Qisya yang kelam kabut. Namun di hatinya terselit seribu kebimbangan. Entah esok masihkah ada untuknya meluahkan rasa nan  satu itu. Rasa yang mampu membuatkan dirinya terasa bahagia.

Friday 24 August 2018

CINTA NUR QISYA [BAB1]


BAB 1

                Angin sepoi-sepoi bahasa membuatkan Nur Qisya kian leka dengan kerjanya. Terasa nyaman sungguh udara di kampung ini. Satu-satunya kampung yang telah lama dihuni semenjak dia masih kecil. Dari kejauhan, dia ternampak Nek Esah berjalan menuju ke arahnya. Nur Qisya tersenyum kecil. Dari jauh dia sudah dapat mengagak dia bakal dileteri oleh neneknya. Lihat sahaja dari jauh neneknya sudah terkumat kamit. Haih Nur Qisya, bakal mendengar ceramahlah kau nanti.
                “Nur Qisya.” Suara Nek Esah memanggil dirinya. Nur Qisya sudah bersedia.         
“Qisya, dah berapa kali nek bagitahu jangan pedulikan budak-budak hujung kampung tu?” Ujar Nek Esah yang berjalan menghampiri cucu kesayangannya.
Satu-satunya cucu yang sudi tinggal bersamanya sedari kecil. Dan satu-satunya cucu yang sangat degil tetapi amat mengahormati orang tua. Walaupun perangai Qisya yang sangat suka membalas dendam dengan caranya tersendiri, namun apa yang sering dilakukan olehnya tidak pernah melampui batas. Dan apa yang dilakukan olehnya hanya akan ditanggung kepada sesiapa yang berani membuli gadis itu.
“Apa pulak Qisya nek? Qisya hanya balas balik apa yang diorang buat kat Qisya. Tak salahkan kalau Qisya pertahankan diri?” Nur Qisya menjawab selamba sambil tangannya lincah menyisip daun kelapa untuk dijadikan penyapu. Sudah dijangka lambat laun neneknya akan mengetahui juga apa yang telah terjadi kelmarin.
“Memanglah tak salah, tapi kan ke elok kalau kamu tak payah menyibuk nak membalas dendam? Diorang tu boleh lakukan apa sahaja sebab ramai. Hah, kamu boleh ke nak pertahankan diri kalau sorang-sorang? Sebelum ni memanglah boleh sebab ada yang tolong kamu.” Bebel Nek Esah lagi sambil mengumpul batang-batang lidi yang disisip oleh cucunya. Begitulah mereka setiap petang. Jika ada masa kelapangan, dia lebih suka menghabiskan masa dengan cucunya. Berbual sambil membuat kerja.
“Alah nenek ni, mestilah Qisya tak boleh sorang-sorang, tapi dengan pertolongan abang Qisya bolehlah.” Qisya tersegih sumbing. Masih mempertahankan dirinya.
“Ehsan tu memang suka tolong kamu. Itu sebab kamu yang mendesak minta tolongkan?” Nek Esah menggeleng-gelengkan kepalanya. Tahu benar sikap Qisya yang suka menghabiskan masa dengan Ehsan. Anak jiran sebelah rumah.
“Eh, mana ada. Abang Ehsan tu memang suka tolong Qisya. Dia dah anggap Qisya ni macam adik dia sendiri. Dia cakap, mana boleh orang buli adik dia sesuka hati.” Qisya mengulangi apa yang pernah Ehsan katakan padanya suatu ketika dahulu.
“Yalah tu, adiklah sangat. Jangan suatu hari nanti dengan kamu-kamu sekali terangkat. Ingat Qisya, kamu dengan dia bukan muhrim tau. Jaga tingkah laku kamu dengan dia. Berkawan tu berkawan jugak. Tapi kalau Atuk atau nenek dengar perkara yang tak elok berlaku antara kamu berdua, hah siaplah.” Nek Esah memberi kata dua. Bimbang juga jika sesuatu yang tak elok berlaku antara keduanya. Mana mahu diletakkan air muka mereka yang sangat dihormati oleh orang kampung.
“Eh nek ni? Bila masa pulak Qisya nak terangkat dengan dia. Mengarut betul. Abang Ehsan dan Qisya ni hanya berkawan. Bukan beradik angkat apatah lagi beradik kandung. Qisya tahulah jaga diri. Yang itu Nek tak perlu bimbang ok?” Nur Qisya memberi jaminan.
“Haih, payah betul bercakap dengan kamu ni Qisya oi. Sepatah nenek bercakap, berpatah-patah kamu menjawab ya? Hish, kalau kamu dah tahu baguslah.” Tangan tuanya mencapai batang lidi terakhir ditangan Nur Qisya, kemudian diambil beberapa utas getah yang berteraburan untuk mengikat hujung batang lidi yang keras. Nur Qisya pula menggapai penyapu, bersedia untuk membersihkan habuk dan mengumpul dedaun kelapa yang berteraburan lantai.
“Assalamualaikum..” Haji Long Ahmad meletakkan beberapa tandan pisang yang dibawa balik dari dusun miliknya dihujung kampung. Diletakkan tandan pisang tersebut bersandar dengan pankin yang diduduki oleh isteri dan cucunya tadi. Tangan tuanya mengipas-ngipas wajah tuanya menggunakan kain. Terasa panas membahang dek disinari cahaya matahari petang.
“Waalaikumussalam” serentak itu salamnya dijawab oleh kedua-dua kesayangannya. Langsung tidak menyedari kepulangan atuknya.
“Atuk nak air? Qisya ambilkan ya?” Ujar Qisya. Anak matanya melihat Haji Long Ahmad yang kepenatan sambil mengesat peluh keringat yang meleleh di dahi atuknya.
“Hah, boleh jugak. Atuk dah haus sangat ni. Panas betul cuaca hari ni. Membahang hangat dari hari biasa.” Rungut Haji Long Ahmad. Penatnya masih bersisa. Kemudian dia menarik nafas cuba mencari udara yang nyaman. Dengan angin sepoi sepoi bahasa, membuatkan badannya terasa sedikit segar.
“Apa yang kamu bualkan tadi dengan Qisya. Bukan main lagi saya tengok. Kamu marahkan dia lagi?” Soal Haji Long Ahmad. Dari jauh lagi dia melihat isterinya berceloteh panjang. Langsung tak perasankan dirinya yang semakin menghampiri.
“Tak ada apalah Atuknya. Saya nasihatkan cucu awak tu.” Ringkas jawapan yang diberikan.
“Apa pula kali ni yang budak tu buat?”
“Tak ada apalah atuknya. Dah selesai pun saya nasihatkan dia. Atuknya tak payah la bimbang.” Ujar Nek Esah tidak mahu dipanjangkan bebelan Haji Long Ahmad.
“Hah, yalah tu nek Esah oi. Saya bukan apa, bimbang juga kalau cucu kita tu diapa-apakan. Maklumlah, dia tu perempuan. Kalau lelaki, saya taklah kisah sangat. Budak-budak zaman sekarang ni semua tak boleh pakai.” Haji Long Ahmad mengeluh kesal mengenangkan sikap anak muda zaman sekarang.
“Atuk..nenek, jemput minum. Qisya buatkan air ni. Cekodok pun ada. Jemput makan.” Qisya menatang dulang yang dibawa menghampiri Haji Long Ahmad dan Nek Esah. Dari dapur lagi dia sudah mendengar bebelan atuk dan neneknya. Alah, bukan tak biasa mendengar bebelan keduanya, malah sudah kalis. Fikirnya, Atuk dan Nenek selalu menasihatinya kerana sayangkan dirinya dan juga supaya dia menjadi anak yang baik.
“Eh, bila kamu buat ni? Tadi masa nenek ada kat dapur tak nampak pun?” Nek Esah mencapai seketul cekodok lalu disuakan ke mulutnya.
“Qisya buat petang tadi selepas solat Zohor. Alang-alang dah ada pisang, Qisya buatkanlah. Lagipun Qisya tahu atuk dan nenek memang sukakan cekodok buatan Qisya ni.” Kembang kempis hidungnya dek kerana terlau bangga.
“Kamu ni macam-macam lah. Yalah kami memang sukakan cekodok kamu sampaikan mengigau malam atuk kamu ni.” Ujar Nek Esah sambil mengunyah cekodok. Haji Long Ahmad hanya tersenyum sumbing mendengarkan usikan isterinya.
“Semalam papa kamu telefon atuk.” Matanya memandang reaksi Qisya. Tahu sangat akan reaksi wajah yang akan bertukar serta merta apabila mendengarkan perihal papa dan keluarganya di bandar.
“Ermm.. kenapa papa call?” Soal Nur Qisya acuh tak acuh. Sudah dapat diagak apa yang bakal diperkatakan.
“Macam biasa. Bertanyakan tentang kami dan juga kamu. Katanya mereka akan pulang ke kampung pada minggu depan. Bercuti panjang katanya.” Haji Long Ahmad bercerita lagi. Qisya dan Nek Esah hanya mendengar. Qisya hanya mengangguk sahaja bak burung belatuk. Tiada apa yang dapat diperkatakan.
“Bercuti panjang?” Nek Esah mengerutkan keningnya. Setahunya, jika anaknya mahu pulang pasti hanya dua atau tiga malam sahaja.
“Haah, nak bercuti panjang. Mungkin seminggu atau dua katanya.” Ujar Haji Long Ahmad lagi.
“Ish lama juga diorang tu bercuti. Tak pernah mereka nak balik selama tu. biasa dua atau tiga malam aja bertahannya.”
“Eh awak ni Nek Esah. Awak tak suka ke kalau anak menantu balik ke rumah?”
“Apa pula tak suka Atuknya. Baguslah kalau diorang balik lama-lama kat sini. Terubat sikit rindu saya ni ha. Rumah pun riuh sikit.” Ujar Nek Piah menyangkal kata-kata Haji Long Ahmad.
Nur Qisya terdiam. Hanya mendengar perbualan Atuk dan neneknya. Dia mula terfikirkan sesuatu. Agaknya kenapa keluarganya mahu pulang selama itu ke kampung?


Matanya terkebil-kebil memandang syiling rumah. Kemudian meliarkan pandangan  melihat sekeliling bilik yang dihuni. Bilik yang penuh suka dan duka sepanjang dia berada di rumah ini. Rumah yang diceriakan oleh celoteh tua atuk dan nenek.
Selepas sembahyang berjemaah tadi, dia terus menyepikan diri di dalam bilik. Langsung tiada mood mahu menemankan atuk dan neneknya menonton. Kebiasaannya, dia lah yang menjadi pelayan kepada atuk dan neneknya pada sebelah malam. Menyediakan pencuci mulut kepada mereka dan berborak panjang. Tetapi sejak berita yang disampaikan oleh Atuk petang tadi telah mematikan semua moodnya untuk menyertai mereka di ruang tamu. Hatinya berlagu bimbang. Bimbang akan sesuatu yang bakal terjadi pada minggu hadapan.
Entah jam berapa Nur Qisya terlelap kerana terlalu asyik berfikir. Masih terngiang-ngiang lagi perbualan Atuk dan neneknya petang tadi. Lenanya malam itu bertemankan kebimbangan.